Tindakan UMNO bertentangan kehendak rakyat – Shafie Apdal

0
242

UMNO hanya mahu jawatan Perdana Menteri dan lebih kuasa untuk parti itu, demikian tegas Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau berkata, tindakan UMNO menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan dibuat untuk kepentingan rakyat.

“Apa yang sebenarnya mereka mahukan? Mereka mahu menjadi kerajaan, mereka mahu memimpin.

“Mereka mahu berada dalam pentadbiran, tetapi (bukan hanya itu), mereka mahu menjadi perdana menteri.

“Sekarang kita juga telah mendengar bahawa ada rancangan dalam UMNO, setelah mereka mendapatkan jawatan timbalan perdana menteri, kini mereka mahu jawatan perdana menteri pula,” katanya dalam wawancara bersama portal MalaysiaKini.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, tindakan UMNO itu bukan sahaja bertentangan kehendak rakyat tetapi ia juga bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO.

“Perhimpunan Agung UMNO telah menyuarakan penolakannya terhadap PN.

“Tetapi, mereka gagal (melaksanakan keputusan perhimpunan agung) kerana tidak mahu kehilangan kedudukan, peruntukan dan projek,” katanya.

UMNO kini berdepan dengan kemelut dalaman apabila wujud sekurang-kurangnya dua kumpulan besar yang saling bertentangan mengenai sokongan terhadap PN.

Kumpulan diketuai presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang kebanyakannya daripada kluster mahkamah menarik sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri, hari ini.

Namun, lebih ramai Ahli Parlimen UMNO enggan menyokong Zahid dan kumpulannyanya, kerana mereka lebih mengutamakan rakyat dalam usaha menangani penularan Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here