KOS untuk menunaikan umrah dijangka meningkat lebih RM3,000 susulan daripada kos-kos tambahan baharu yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia yang berhasrat mengerjakan umrah sekiranya dibenarkan oleh kerajaan hujung tahun ini.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kiraan kasar kos terendah untuk menunaikan umrah sebelum ini adalah sekitar RM6,000 namun kos ini bertambah di dalam musim pandemik dan boleh mencecah sehingga RM9,000.
Menurutnya, kos-kos tambahan tersebut adalah termasuk kiraan kasar kos tiket penerbangan yang dijangka meningkat sekitar RM300-RM400 serta caj tambahan visa yang dijangkakan boleh meningkat sehingga sekitar RM1,300.
“Dalam keadaan sekarang, jemaah umrah atau haji perlu melakukan ujian saringan terlebih dahulu. Kos ujian saringan boleh mencecah sekitar RM500,” tambahnya.
Menurutnya lagi, kos penginapan turut dijangka meningkat kerana bilik penginapan hanya boleh berkongsi seramai dua orang sahaja berbanding empat hingga lima orang sebelum ini.
“Kini, kos penginapan termasuk penginapan kuarantin meningkat sekitar RM 1,500 kerana kini bilik penginapan hanya boleh didiami oleh dua orang sahaja sekiranya ingin menjalankan umrah dalam musim pandemik ini.
“Kalau kita kira secara kasar penambahan kos tadi, kos untuk menunaikan umrah meningkat lebih kurang RM 3,000,” ulasnya.
Mengulas lanjut, pihak PAPUH menasihati agar rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan umrah agar terus bersabar menunggu kebenaran daripada pihak kerajaan.
“Pada masa sekarang, kami melihat kepada arahan PKP yang dilanjutkan sehingga Disember tahun ini. Jadi, kalau ada kebenaran untuk menunaikan umrah selepas PKP ini, kami boleh mula uruskan persediaan untuk semua jemaah umrah,” katanya.
Dalam pada itu, Razali turut memaklumkan kesemua agensi haji dan umrah dalam negara pada ketika terpaksa diberhentikan operasi buat sementara waktu ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ketiadaan peserta umrah dan haji musim ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.