Takiyuddin jalani prosedur Angiogram hari ini

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjalani prosedur Angiogram sebuah hospital swasta hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

“Saya baru menghubungi Datuk Seri Takiyuddin Hassan pagi ini. Alhamdulillah beliau telah selamat menjalani pemeriksaan dan beliau maklumkan doktor telah siap memasang sten di saluran yang tersumbat.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan dijangka akan keluar dalam sehari dua ini. Teruskan doa agar beliau cepat sembuh sepenuhnya,” maklum Tuan Ibrahim di hantarannya itu.

Menurut laporan-laporan media, Setiausaha Agung Pas berkenaan telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada Jumaat lepas kerana masalah berkaitan jantung.

Turut dilaporkan, prosedur yang dijalankan ke atas Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengambil masa selama tiga jam.

Dalam pada itu, para pimpinan politik cari pelbagai parti turut menyampaikan ucapan cepat sembuh kepada beliau.

Takiyuddin dijangka keluar hospital dalam masa dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan kesihatannya. – SB