Semangat patriotik Pak Rahim

0
272

LENGKAP berbusana Melayu Jalur Gemilang, gelagat seorang pesara tentera mencuri tumpuan ramai ketika hadir menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UITM) Melaka di Lendu di sini, hari ini.

Md Rahim Maskop, 52, dari Gadek berkata seawal 9.30 pagi dia telah hadir ke PPV berkenaan untuk menerima dos kedua suntikan dengan memakai pakaian tradisi bercorak bendera Malaysia selain mengenakan tanjak bagi mengabadikan kenangan seumur hidup sebagai penerima Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Rahim berkata lebih istimewa pakaian itu ditempah khas bagi menzahirkan semangat patriotik dan cintakan tanah air sempena bulan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Sememangnya setiap kali tibanya bulan Ogos, saya akan membelanjakan untuk membeli Jalur Gemilang bagi menghias rumah, berkonvoi mengayuh basikal tua dan memasuki pelbagai pertandingan Hari Kebangsaan dan sebagainya kerana ia adalah hobi.

“Alhamdulillah tidak sangka orang ramai turut memberi semangat dan tepukan gemuruh malah ada yang mahu bergambar bersama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pak Rahim berkata lebih 20 tahun beliau bersama isterinya, Zurinah Kepol, 52, setia menghias kediaman mereka di Taman Pisang Mas Jaya dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz dan menjadikannya sebagai rutin wajib demi semangat cintakan negara.

Namun katanya sambutan bulan Hari Kebangsaan pada tahun ini, disambut secara sederhana berbanding sebelum ini berikutan negara berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Pertama.

Dalam pada itu beliau turut menyeru orang ramai supaya mendaftar dan mendapatkan janji temu vaksin COVID-19 bagi memastikan usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok dapat dicapai.

“Orang ramai juga tidak perlu ragu-ragu dengan vaksin ini kerana ia sudah pasti telah dijamin selamat dan kita berharap lebih ramai akan dapat menerima vaksin dalam usaha memutuskan penularan COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here