Perhimpunan langgar SOP, cetus risiko penularan Covid-19

TINDAKAN sekumpulan individu mengadakan perhimpunan di sekitar Dataran Merdeka pada Sabtu bukan sahaja mencetuskan kejutan, namun lebih membimbangkan risiko keselamatan dan ancaman jangkitan Covid-19 kepada peserta berkenaan.

Meskipun menghormati, hak dan kebebasan mereka bersuara, namun tindakan itu dilihat banyak pihak tidak kena pada masa dalam keadaan virus varian Delta yang sedang mengganas.

Tinjauan wartawan mendapati meskipun terdapat usaha penganjur untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun selepas perhimpunan bermula kira-kira pukul 10 pagi, semua SOP berkenaan gagal dipatuhi.

Bermula dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur kumpulan kira-kira seramai 200 orang berarak menuju Dataran Merdeka.

Sambil memegang sepanduk, mereka turut mengeluarkan kata-kata bagi menggambarkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan sedia ada.

Video dan gambar-gambar himpunan mula membanjiri media sosial sebaik perhimpunan bermula, namun ia mendapat reaksi pelbagai daripada netizen.

Selain menyatakan sokongan ada juga netizen mempersoalkan niat sebenar kumpulan berkenaan.

Katty Suraya menulis Selepas ini salahkan kerajaan kes naik, sedangkan kau buat perhimpunan.

Husaini Hasan pula menyatakaan kekecewaanya, sampai bila-bila la kes tak turun kalau macam ni.

Para netizen juga mempertikaikan bagaimana kumpulan tersebut boleh dibenarkan merentas daerah tanpa kebenaran kerana kawasan sekitar Majid Jamek adalah kawasan perniagaan, bukanlah penempatan penduduk.

Selain itu, apa yang lebih membimbangkan terdapat juga video tular yang menunjukkan mereka berhimpun dengan tiada penjarakan fizikal – yang sudah tentu memudahkan penularan virus varian baharu sekarang yang cepat merebak melalui bawaan udara.

Bagaimanapun, kawalan polis yang tidak membenarkan orang ramai dan kenderaan ke Dataran Merdeka menyebabkan perhimpunan itu berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Selain polis, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengawasi kawasan sekitar protes itu, disamping petugas perubatan dan ambulans. SB