PGA rampas rokok seludup

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CUBAAN sindiket rokok seludup menyeludup berjaya dipatahkan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan merampas 1,031 karton rokok pelbagai jenama di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, rampasan dibuat susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan pada pukul 6.30 petang.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Persona, 1,031 karton rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM203,574.60.

“Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dimin berkata, suspek menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup
sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Johor Bahru.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk
tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai disekitar daerah Johor Bahru.

“Orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta
kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya. – SB