PENDAKWAH bebas terkenal, Pencetus Ummah (PU) Syed, meminta Ustaz Ebit Lew untuk tampil kehadapan dengan menafikan atau menyaman mereka yang dianggap memfitnah Ebit Lew.
Pendakwah itu berkata, walaupun kes ini masih dalam siasatan polis, namun, masyarakat dan khasnya pengikut Ebit Lew perlu diberi pencerahan berkenaan isu panas yang terpalit itu.
“Ada beberapa video yang saya dapat, dari hamba Allah, namun saya terus padamnya serta memadam nombor orang yang menyalurkan video tersebut kerana masih bersangka baik bahawa ianya adalah penipuan.
“Namun bila ramai para asatizah muncul mendakwa perkara yang serupa dan disokong dengan laporan polis yang telah dibuat oleh ‘mangsa’, maka sangka baik saya semakin mengendur,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
Malah, Syed turut berharap agar isu itu dapat diadili dengan sebaiknya serta membongkar kisah sebenar.
“Biarlah kita diadili di dunia, jangan nanti di akhirat kita merana. Pintu dan ruang taubat masih terbuka luas buat kita semua,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ebit Lew sehingga setakat ini masih belum memberi sebarang maklumbalas selepas dihubungi SatuBerita.
19 Ogos lalu, Ebit Lew memberi keterangan di Bukit Aman dan menyifatkan tuduhan yang mengaitkannya dengan kes yang sedang disiasat polis sebagai fitnah melampau semata-mata.
Menurutnya, apa yang terjadi akan membuatkan dia berasa lebih bersemangat untuk membuat kebaikan sampai bila-bila. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.