Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Penunggang basikal disaran ambil lesen -

[VIDEO] Penunggang basikal disaran ambil lesen

AKTIVITI berbasikal di jalan raya yang menjadi trend rakyat Malaysia kadang kala menimbulkan pelbagai reaksi pengguna lain kerana boleh mengundang bahaya jika gagal mematuhi arahan ditetapkan. 

Bagaimanapun, Setiausaha Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur, Firdaus Arshad tampil menjelaskan situasi mengenai isu menunggang basikal secara bahaya dan berkongsi panduan yang sepatutnya diamalkan penunggang. 

“Ramai orang yang telah memilih sukan berbasikal sebagai aktiviti rekreasi untuk mereka. 

“Namun ramai juga yang tidak tahu akan garis panduan yang betul untuk menunggang basikal di jalan raya,” katanya kepada SatuBerita.

Katanya, cara terbaik untuk mengenali garis panduan yang betul sebagai penunggang basikal adalah dengan melibatkan diri dalam komuniti sukan berbasikal.

“Kepada penunggang yang baru, libatkan diri dalam kayuhan secara berkumpulan kerana ia lebih selamat dan lebih banyak ilmu mengenai keselamatan menunggang basikal boleh dipelajari daripada komuniti tersebut,” katanya. 

Pada masa sama, Firdaus menekankan kepentingan mempunyai lesen berbasikal, demi menjaga keselamatan penunggang terutamanya yang masih baru berjinak-jinak dalam sukan berbasikal.

“Sebagai seorang penunggang basikal, anda perlu mempunyai lesen berbasikal yang boleh dimohon di Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia,

“Lesen tersebut boleh digunakan sebagai ‘insurans’ untuk keselamatan penunggang sendiri” katanya.

Mengulas lanjut, Firdaus turut mengingatkan penunggang basikal di luar sana supaya sentiasa memakai peralatan keselamatan untuk berbasikal supaya dapat mengelakkan kemalangan di jalan raya.

Firdaus berkata demikian bagi mengulas video penunggang basikal yang mengikut rapat di belakang sebuah lori treler baru-baru ini.

Aksi berbahaya penunggang basikal itu yang dilihat cuba ‘cucuk angin’ treler berkenaan sebenarnya sangat berbahaya dan mendapat pelbagai reaksi penunggang lain serta netizen.

Apabila video itu tular di media sosial, kini polis dilaporkan sedang mengesan penunggang berkenaan untuk tindakan susulan ekoran menunggang secara berbahaya di jalan raya. – SB