Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sembilan jenazah nahas Elmina dikebumi di Lembah Klang, Pahang dan Perak -

Sembilan jenazah nahas Elmina dikebumi di Lembah Klang, Pahang dan Perak

BAKI sembilan jenazah mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam Khamis lalu akan dikebumikan di lokasi berasingan di Lembah Klang, Pahang dan Perak hari ini.

Pagi tadi, semua sembilan jenazah berkenaan dituntut wakil serta waris masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum pengurusan jenazah diambil alih Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Jenazah pertama yang diuruskan adalah EXCO Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang tiba di Masjid Jamek Ar-Rahimiah dekat sini pada jam 9.45 pagi yang mana solat jenazah diimamkan oleh anak lelaki Allahyarham.

Ia kemudian diikuti dengan pengurusan jenazah Muhammad Taufiq Mohd Zaki; Khairil Azwan Jamaludin; Sharipuddin Shaari; Kamarul Roslan; Heikal Aras Abdul Azim dan Idris Abdul Talib @ Ramali.

Solat jenazah lapan individu berkenaan diimamkan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Muhammad Farhan Wijaya dan salah seorang waris.

Semalam, jenazah pertama yang dibenarkan dituntut ialah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, disolatkan di Masjid Al Rahimiah, sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah, lapor BH Online.

Suasana pilu di tanah perkuburan

Sementara itu, BERNAMA melaporkan suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Gombak sebaik sahaja jenazah ADUN Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun tiba.

Jenazah Johari, 53, selamat dikebumikan jam 12.04 tengah hari dengan bacaan talkin oleh anak Allahyarham sendiri iaitu Muhammad Hafiz Naqiuddin.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira 12.50 tengah hari.

Terdahulu, jenazah Allahyarham sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin dengan dipimpin Imam Saudi Jusoh yang kemudian turut membacakan talkin.

Lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga menunaikan solat jenazah berkenaan.

Seorang lagi mangsa Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini kira-kira 1 tengah hari ini.

Sebelum dikebumikan, jenazah Mohammad Taufiq yang merupakan Pegawai Khas kepada Allahyarham Johari sekali lagi disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang.