Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
99.9 peratus penduduk dewasa Lembah Klang lengkap suntikan vaksin -

99.9 peratus penduduk dewasa Lembah Klang lengkap suntikan vaksin

JUMLAH populasi dewasa di Lembah Klang yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 kini mencecah 99.9 peratus atau lebih 6.15 juta individu.

Angka itu dicapai setelah 47,437 lagi populasi dewasa selesai menerima dos kedua semalam, menurut data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini.

Setelah lebih enam bulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan hampir 13.2 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk Lembah Klang, membabitkan 6,988,578 dos pertama dan 6,156,029 dos kedua.

Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai semalam, sekali gus individu lengkap divaksin memperoleh ‘sedikit kebebasan’ daripada sekatan yang dikenakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan data itu, sejak 24 Februari sehingga semalam, secara keseluruhannya 72.0 peratus individu dewasa di seluruh negara telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, manakala 90.5 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Wilayah Persekutuan Labuan berada di tempat kedua dengan merekodkan sebanyak 95.9 peratus individu dewasa melengkapkan dos masing-masing.

Enam negeri – Johor, Pahang, Perak, Kedah, Kelantan dan Sabah – masih kekal berada di bawah nilai ambang 60 peratus individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

Semua negeri itu mencatatkan antara 48.6 peratus dan 59.2 peratus individu dewasa lengkap divaksin.

Semalam sahaja sebanyak 287,059 dos vaksin diberikan di seluruh negara membabitkan 111,027 dos pertama dan 176,032 dos kedua.- SB