[VIDEO] Serammm! Kisah benar ular tedung selar keluar kepala dari mangkuk tandas

0
2072

HASRAT sebuah keluarga di Perlis untuk memasuki tandas terbantut selepas menemui seekor ular tedung senduk di dalam mangkuk tandas rumahnya.

Penangkap ular terkenal, Muhammad Hafiz Alias, 30, berjaya menangkap ular tersebut dan berkongsi rakaman video itu di TikTok (@hafizking95).

Menurut Hafiz, keluarga berkenaan menghubunginya untuk meminta pertolongan menangkap ular itu.

“Tuan rumah call Hafiz, mintak tolong tangkap ular, mereka cakap ada ular di dalam tandas, bila sampai di rumah dia, tak sangka ular duduk di dalam mangkuk tandas, tuan rumah mungkin pergi tandas, tiba-tiba nampak ekor dan terus call Hafiz.

“Sekarang cuaca panas, ular suka cari tempat yang sejuk, contoh dalam mangkuk tandas, mesin basuh, peti ais,” katanya ketika dihubungi wartawan SatuBerita.

Video yang berdurasi tujuh saat itu tular dan kini mencapai 5.5 juta jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Tambah Hafiz, ketika dia menjumpai ular di dalam mangkuk tandas itu, haiwan reptilia itu seolah-olah bersedia untuk mematuk.

“Mangkuk tandas itu simen, simen itu sejuk, jadi dia selesa untuk rehat dan akan duduk di situ.

“Ular itu duduk seperti hendak mematuk, kita kena bagi dia ‘sejuk’ baru kita boleh ambil dia, jika dia stres atau marah, kita tidak boleh ambil dia, kerana bila dia marah, macam-macam boleh jadi.

“Dia berendam dalam air mangkuk tandas itu, kadang-kadang jika terlalu panas dia akan minum air mangkuk tandas itu walaupun air itu kotor atau bersih,” katanya.

Hafiz yang juga dikenali sebagai “Raja Ular Perlis” itu berkata, dia hanya menangkap ular tersebut tanpa sebarang alatan kerana lebih selesa.

“Saya tangkap gunakan tangan kerana lebih selesa, kebanyakan orang suruh saya gunakan alatan, tapi saya lebih suka gunakan tangan tanpa sarung tangan, kerana dah biasa,” ujarnya.

Menurut Hafiz, ular yang dijumpainya itu dilepaskan ke habitat asal, namun, jika saiznya lebih besar, dia akan menyerahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk masukkan ke dalam rekod mereka.

Hafiz juga berkata, dia sudah lama terlibat dalam aktiviti menangkap ular itu dan sudah mengenali ular sejak berumur lima tahun.

Kerja itu dilakukannya secara suka rela tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada sesiapa saja yang meminta pertolongan.

“Saya buat kerja ini secara amal, jika kita pergi rumah tu dan tiada ular, kalau ular ada atau tiada ikut tuan rumah berapa bayaran, seikhlas hati.

“Sebab saya bukan tumpu kepada ular sangat kerana pandemik Covid-19, saya bawa van jenazah di sekitar Perlis,” ujarnya.

Hafiz yang kini menjadi pemandu van jenazah korban Covid-19 turut berkongsi, pernah diserang reptilia itu sebanyak 9 kali.

“Kita tengok teknik cara tangkap, kalau badan kita terlalu letih memang akan ‘sangkut’, sebab kita tak boleh fokus, baru-baru ini pun saya ada sangkut, tapi bukan sangkut betul cuma calar, tetapi bisa tetap masuk, biarpun kita bertaruh nyawa tapi kita jaga nyawa orang.

“Setakat saya kena 9 kali, tidak pernah jadi apa-apa yang serius,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Hafiz turut berkongsi sedikit tip kepada orang ramai jika menemui ular.

“Kalau terjumpa ular, jangan bagi ular itu rasa terancam atau stres, dia bukan nak mematuk kita, ular tedung senduk bila jumpa manusia atau benda yang bergerak, dia akan ‘panggung’, bila dia panggung kita akan anggap ular itu akan patuk kita, sebenarnya tidak. 

“Ular itu hanya ‘terkejut’ dan tengok pemangsa dia, jadi bila dia panggung, kita jangan bagi dia stres atau terancam. 

“Jika kita duduk antara kita dengan ular dengan jarak satu langkah, tanpa bagi dia rasa terancam, dia tidak akan patuk kita,” demikian perkongsian tip jika menemui haiwan reptilia itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here