Bergesel dengan lori, penghantar makanan cedera

0
238

SEORANG penghantar makanan Food Panda cedera di kaki selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori dalam kemalangan di Senawang-Paroi di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 10 pagi itu berlaku apabila sebuah lori jenis Hino yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 25 tahun sedang bergerak dari Paroi menuju ke arah Senawang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, datang sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang oleh penghantar makanan Food Panda yang merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah bertentangan.

“Kemudian telah berlaku pergeseran antara kedua-dua kenderaan ini di bahagian tepi yang mengakibatkan penunggang motosikal jatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nanda, penunggang motosikal itu cedera di bahagian kaki kanan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban bagi menerima rawatan,” katanya, lapor Kosmo!.

Nanda berkata, pemandu lori bersama kenderaan terlibat telah tampil ke Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban selepas kemalangan untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here