Giliran Negeri Sembilan capai status imuniti kelompok

SELEPAS Labuan, Lembah Klang dan Sarawak, Negeri Sembilan menjadi negeri keempat mencapai imuniti kelompok selepas merekodkan 80.9% atau 658,507 populasi dewasa lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan berkata, Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 94.7%, atau 64,899 orang daripada populasinya sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Lembah Klang yang mengikuti rapat merekodkan 94.1% atau 5,798,337 orang populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin manakala 6,903,990 juta individu menerima satu dos.

Sarawak kemudian mencatatkan 87.2% atau 1,781,771 orang lengkap divaksinasi manakala 1,854,069 orang menerima satu dos.

Sementara itu, empat negeri yang merekodkan kadar vaksinasi kurang daripada 50% ialah Perak (48.9%); Kedah (47.9%); Kelantan (47.6%) dan Sabah (41.5%).

Vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 369,280 dos semalam dengan 181,635 adalah dos pertama manakala 187,645 adalah dos kedua. Setakat ini, sebanyak 35,519,754 dos suntikan Covid-19 sudah diberikan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, diperkenalkan pada 24 Feb bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok Covid-19.