Oleh BADLISHAH MAT
KERAJAAN negeri Kedah mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang diputuskan sebelum ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu telah diputuskan Pas sebelum ini dan sebarang perubahan juga hanya akan diputuskan parti itu.
“Parti dah buat keputusan dan jika ada perubahan juga, parti yang akan putuskan,” katanya di Alor Setar, semalam.
Muhammad Sanusi pada Jumaat lalu sekali lagi memaklumkan DUN Kedah tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun Parlimen dibubarkan lebih awal untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kata beliau, perkara itu juga telah disembah maklum kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sewaktu sesi menghadap pada Selasa lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing.
Ismail Sabri berkata, tindakan itu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak agar memastikan rakyat tidak terbeban selain menjimatkan kos.
Selain Kedah, dua lagi negeri yang ditadbir Pas adalah Kelantan dan Terengganu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.