Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muhyiddin harap Kabinet tumpu pemulihan negara -

Muhyiddin harap Kabinet tumpu pemulihan negara

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Jemaah Menteri yang baru dilantik akan memberikan tumpuan segera kepada usaha-usaha untuk memulihkan negara daripada wabak COVID-19, menyalurkan bantuan kepada golongan rakyat yang memerlukan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa setakat ini telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menambah, pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak COVID-19.

“Program-program bantuan prihatin rakyat juga mesti diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara.

“Saya mendoakan agar seluruh barisan Jemaah Menteri sentiasa diberikan hidayah dan inayah oleh Allah SWT untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Muhyiddin dalam kenyataan media, hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Beliau juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan menteri dan timbalan menteri dari parti-parti komponen PN.

“Sesungguhnya pelantikan ini adalah suatu amanah berat yang mesti dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan
peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.

“Maka, fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.