DUA kesatuan pelajar menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk menarik subsidi minyak masak dan harga siling beberapa jenis barangan keperluan harian bermula 1 Julai ini.
Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam kenyataan bertajuk ‘Turun Harga atau Turun Jalan Raya’ memberi bayangan bahawa kemungkinan untuk berlakunya protes jalanan sekiranya kerajaan tidak dapat mengambil tindakan untuk menurunkan harga barangan.
“Keputusan kerajaan ini mengetepikan hak dan isu yang dihadapi oleh rakyat, lebih-lebih lagi apabila isu berkenaan akan menyebabkan satu kesan domino terhadap barangan keperluan harian yang lain.
“Kesatuan Pelajar UIAM dan KMUM mengecam keputusan dan tindakan kerajaan untuk memansuhkan subsidi dan harga siling bagi barangan keperluan harian,” katanya, mengikut laporan BH Online.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan kerajaan untuk menarik balik subsidi itu juga bakal memberi kesan negatif kepada semua lapisan masyrakat, termasuk pelajar di institute pengajian tinggi (IPT).
Mereka turut berpendapat bantuan wang tunai yang diumumkan sebagai alternatif adalah tidak masuk akal dalam menyelesaikan isu rakyat.
“Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang bernilai RM100 tidak dapat bertahan lama jika harga barangan keperluan kian meningkat.
“Lebih teruk lagi, kerajaan masih tidak mempunyai pelan bantuan untuk membantu golongan mahasiswa dan mahasiswi yang juga turut terkesan dalam krisis kenaikan harga barang ini,” katanya.
Selain itu, kenyataan itu juga menyebut bahawa krisis ini sudah meningkatkan kadar inflasi dan secara tidak langsung menyebabkan kuasa beli kian susut.
“Oleh hal yang sedemikian, dalam mewakili suara rakyat Malaysia, kami menasihatkan kerajaan mengemukakan pelan yang membantu semua lapisan masyarakat dan tidak bersikap pilih kasih.
“Pelan yang dikemukakan seperti BKM amatlah tidak memadai bagi menampung keperluan rakyat dalam jangka masa panjang,” katanya.
Oleh itu, kedua-dua kesatuan pelajar itu menuntut kerajaan supaya bertanggungjawab serta membentangkan langkah dalam membendung kenaikan harga yang berpunca daripada kesilapan sendiri.
Sementara itu, Eksekutif Umum KMUM, Muhammad Noraiman Zulkifli berkata, kerajaan perlu mengambil maklum pandangan daripada semua pihak berkaitan keputusan itu.
“Keputusan kerajaan itu jelas akan memberi kesan besar kepada kos sara hidup terutama harga makanan, yang mana ia amat dirasai oleh pelajar universiti ketika ini.
“Justeru, kita mohon kerajaan beri pertimbangan lanjut mengenai perkara ini kerana ia akan memberi kesan kepada kami semua,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.