Kerana nama sama, Yasin Senario dikecam netizen

HANYA kerana ada persamaan nama, dia pula yang menjadi mangsa. Itu juga yang terjadi kepada pelawak Yasin Senario apabila ada individu mencaci dirinya berkaitan kes dadah.

Sejak nama penyanyi lagu Ketuhanan, Yassin Sulaiman atau lebih dikenali dengan nama Yassin Brothers ditahan berkaitan hal dadah, ramai yang salah sangka dan menganggap dia orang yang dimaksudkan.

“Memang ada yang mengecam kerana mula-mula mereka ingat itu saya tetapi saya tidak kisah atau ambil hati. Orang kalau dah marah memang beremosi.

“Jika lihat ruangan mesej dalam Instagram, memang ada yang mengecam tetapi saya tidak buka dan baca kerana tahu pasti ada yang salah faham mengenai kami berdua,” katanya mendedahkan apa terbuku di hatinya.

Tambahnya, pelbagai kecaman yang diterima kebiasaannya melibatkan media sosial di mana mereka menghentam tanpa usul periksa.

Namun sebagai manusia biasa, dia memahami perkara tersebut berlaku disebabkan kekeliruan dan salah faham semata-mata memandangkan nama mereka sama.

Pun begitu, sebagai artis lama, dia gembira apabila orang kembali memperkatakan namanya meskipun hanya salah faham.

“Bersyukur kerana nama saya naik semula. Bila orang tanya, saya kata Yassin dah betul tapi itu bukan saya. Saya ‘brader Yassin’ tetapi di sana ialah ‘Yasin Brothers’.

“Kalau ikutkan nama saya naik semula selepas menyertai Gegar Vaganza ke-8. Tapi sekarang naik lain sebab nama Yassin.

“Tak ada apa mampu saya katakan selain bersyukur kerana nama saya disebut-sebut semula. Setidaknya saya kembali popular dalam bulan Ramadan ini,” katanya lagi.

Bagi pelawak ini, dia sebenarnya bersimpati dengan nasib yang menimpa Yassin yang dikaitkan dengan kes ganja dan beberapa tuduhan lain.

Tambahnya, semua ini adalah ujian untuknya terus kuat dan mendepani apa sahaja rintangan yang mendatang dengan penuh kesabaran.

“Dahulu pun saya pernah merasai perkara sama. Orang nampak musibah tetapi saya pula melihat apakah yang hendak disampaikan oleh Tuhan disebaliknya.

“Ketika itu saya selalu berharap pada makhluk tetapi sampai satu tahap, tidak boleh lagi dan akhirnya bergantung pada Allah sahaja,” tuturnya.