Kerana kontroversi, tiada ‘job’ untuk Sabyan

JIKA kebanyakan penyanyi dan kumpulan berteraskan lagu ketuhanan sudah sibuk memenuhi undangan nyanyian sempena Ramadan, nampaknya kumpulan Sabyan menerima nasib yang berbeza.

Kumpulan gambus yang popular dengan lagu-lagu seperti Deen Assalam dan Ya Maulana itu mengakui yang mereka tidak menerima sebarang undangan daripada mana-mana pihak lagi.

“Kalau dahulu kami sudah menerima tawaran lebih awal sebelum Ramadan tiba. Tapi kali ini berbeza, jadual masih kosong,” kata Ayus, salah seorang anggota Sabyan.

Ayus dan Nissa

Baginya, dia banyak belajar tentang mendepani keadaan memandangkan satu ketika dahulu mereka sering kali menjadi pilihan penganjur.

Walaupun sekarang tiada sebarang undangan diterima, dia yakin mereka akan mendapatkan tawaran sedikit masa lagi.

Tambahnya lagi, meskipun Sabyan tidak sibuk, namun setiap ahli mempunyai pekerjaan masing-masing dan mereka masih melakukan pelbagai aktiviti lain.

“Sepanjang Ramadan ini kami akan membuat siaran langsung di semua media sosial memandangkan kami sedang membangunkan aplikasi sendiri.

“Kita akan terus berjalan dengan pelbagai projek lain,” kata Ayus seperti dipetik DetikHot lagi.

Sebenarnya Sabyan sememangnya sebuah kumpulan yang besar di Indonesia yang sering kali dijadikan pilihan penganjur setiap kali tiba Ramadan.

Namun kerana hubungan cinta Ayus dan Nissa yang juga merupakan vokalis utama kumpulan diketahui umum sehingga meruntuhkan rumah tangga yang dibina Ayus bersama Ririe.

Pada 2021, Ayus mengaku berselingkuh dan menduakan isteri sehingga menyebabkan populariti Sabyan jatuh mendadak.

Mereka sempat melancarkan beberapa buah lagu seperti Maha Kasih dan Ana Ana selepas itu, namun sambutan yang diterima tidak lagi seperti dulu.