
BELARUS yang merupakan sekutu kuat Rusia didakwa bakal menyertai perang menentenag Ukraine dalam tempoh beberapa hari, lapor CNN pada Rabu.
Menurut laporan itu, dakwaan itu timbul setelah memperoleh maklumat daripada pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sumber pihak pembangkang Belarus mendakwa ribuan tentera Belarus sedang bersedia untuk dikerahkan dan mendarat di Ukraine bila-bila masa dalam beberapa hari akan datang.
“Presiden Rusia, Vladimir Putin memerlukan sokongan. Apa-apa sahaja (bentuk sokongan) dapat membantu,” kata seorang pegawai tentera NATO.
Dalam pada itu, pegawai perisikan NATO mendakwa bahawa kerajaan Belarus sedang merangka situasi terancang untuk mewajarkan serangan negara itu terhadap Ukraine.
Perkembangan terbaharu itu berlaku sebulan selepas Belarus menukar perlembagaannya bagi membolehkan negara itu menjadi lokasi penempatan tentera Rusia dan lapangan ujian senjata nuklear secara kekal.
Dalam perkembangan lain, perisikan Britain melaporkan tentera Rusia sedang berdepan tentangan sengit kerana sehingga kini tidak dapat menawan ibu kota Kiev mesikupun perang antara Rusia-Ukriane telah memasuki hari ke-28.
“Pergerakan pasukan Rusia yang mara ke bandar dari timur laut telah terhenti. Pasukan yang mara dari arah Hostomel ke barat laut telah ditangkis oleh tentangan sengit Ukraine,” kata Kementerian Pertahanan Ukraine dalam satu kenyataan.— Agensi