PRN Johor: Marina Ibrahim positif COVID-19

MENJELANG hanya tiga hari berbaki sebelum hari pengundian, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim terpaksa ‘melupakan’ kempen secara bersemuka selepas didapati positif COVID-19.

Marina yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor memaklumkan, beliau didapati Positif dan dijangkiti wabak itu selepas melakukan ujian RTK kendiri, dua hari lalu.

Menurut Marina, beliau kini menjalani kuarantin kendiri di rumah dan sedang menunggu hasil ujian PCR.

Walaupun begitu, Marina tetap bersemangat untuk meneruskan kempen dengan meneroka cara lain termasuk menerusi media sosial.

“Semangat saya untuk meneruskan kempen tidak luntur, saya akan meneroka cara lain termasuk media sosial untuk berhubung dengan pengundi Skudai dalam tempoh kuarantin.

“Saya berharap anda semua akan terus memberi sokongan kepada saya dan pasukan kempen saya sehingga hari pengundian nanti.

“Pasukan kempen saya akan terus meneruskan kempen walaupun dengan ketiadaan saya secara fizikal,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

DUN Skudai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Marina dengan calon Barisan Nasional (BN), Lim Soon Hai dan Khoo Kong Ek yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi itu dimenangi Tan Hong Pin (PH-DAP) menewaskan S. Kanan (BN) dengan majoriti 35,126 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal telah berlangsung dengan lancar, semalam. – SB