Individu menyamar pegawai SPR cuba ganggu ceramah PN

KETUA Penerangan Bersatu Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan perbuatan segelintir pihak yang dipercayai menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuba mengganggu majlis ceramah Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya kejadian itu dikesan dalam ceramah PN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, malam 4 Mac lalu apabila terdapat dua tiga individu yang memakai jaket SPR hadir pada ceramah dipengerusikannya.

“Malam tadi di Rengit, saya menjelaskan mengenai apa yang berlaku pada malam sebelumnya (4 Mac) di Parit Keroma. Ada individu lelaki menyamar dengan menggunakan kad kuasa pegawai wanita, cuba mengganggu majlis anjuran PN.

“Saya tak tahu adakah ini sabotaj atau komedi. Individu itu lelaki, tapi entah dari mana dia curi atau palsukan kad kuasa seorang wanita pula. Sudah lah salah jantina, langsung tak tahu malu cuba sabotaj program orang lain.

“Inilah akibatnya bila amalkan budaya tak malu ajaran juara komedi… memang sungguh terdesak nampaknya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Wan Saiful berkata ketika menjadi pengerusi majlis itu beliau ternampak dua tiga individu sedang meninjau-ninjau program berkenaan dari jauh, seolah-olah hendak membuat kacau.

“Saya meminta petugas pergi tengok. Rupa-rupanya ada dua orang datang dan menyatakan mereka mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya… daripada SPR… mengarahkan supaya program kita dihentikan.

“Bila disemak betul-betul oleh pegawai-pegawai kita. Rupa-rupanya yang datang… kad penguatkuasanya, namanya Halinah. Gambarnya putih melepak tapi yang datang lelaki.

“Bagi saya ini menunjukkan bahawa di sebelah sana bimbang dengan kebangkitan rakyat negeri Johor. Mereka bimbang apa yang kita lakukan mendapat sambutan yang amat baik.

“Mereka amat bimbang sekiranya sambutan ini diterjemahkan sebagai undi pada 12 hari bulan nanti yang menyebabkan segala perancangan mereka untuk berkuasa, tak dapat laksana. Ribuan rakyat turun bersama dengan kita (PN),” tambahnya lagi.