28 juta dos vaksin diberikan setakat semalam

SEBANYAK 28,837,742 dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter, memaklumkan jumlah yang menerima dos pertama ialah 17,437,286 orang manakala 11,400,456 orang bagi dos kedua.

Menurut JKJAV, 53.4 peratus daripada jumlah populasi negara mendapat dos pertama manakala 34.9 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Selangor merekodkan jumlah harian dos tertinggi dengan lebih 11,000 dos bagi dos pertama dan lebih 85,000 dos kedua.

Ini diikuti Johor, dengan lebih 33,000 dos pertama manakala dos kedua pula melebihi 39,000.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan peningkatan kepada 525,111 dos semalam berbanding 501,776 dos pada Isnin, dengan 184,972 adalah dos pertama manakala 340,139 adalah dos kedua.

PICK telah dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.