Saya istiqamah dengan perjuangan Pas – Khairuddin

TIADA sebarang komen mengenai pemecatan dirinya diberikan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam video awam yang pertama dibuat beliau sejak dilucutkan jawatan parti baru-baru ini.

Beliau dalam penampilan awam di penstriman langsung di laman Facebooknya pada malam Sabtu itu itu hanya menyatakan mengenai komitmen terhadap perjuangan Pas

Bekas pimpinan kanan Pas itu langsung tidak menyentuh mengenai penyingkiran dirinya daripada jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama dan sebelum itu dipecat selaku Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat.

Dalam video secara langsung berdurasi 13 minit 52 saat itu, Mohd. Khairuddin berkata, soal pemecatannya merupakan hal dalaman parti yang perlu diselesaikan menerusi kaedah Pas.

Beliau turut menyerahkan kepada kepemimpinan Pas untuk menguruskan soal tersebut.

BACA:

Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas

Khairuddin digugur berkait masalah disiplin – Hadi

Sifatkan UMNO ‘itik patah kaki’: Khairuddin pertahan kenyataan Abdul Hadi

“Ini kali pertama saya bersiaran langsung di Facebook setelah pelbagai isu yang berlaku dalam parti dan perjuangan. Ramai meminta respons dan ulasan termasuk media, namun saya masih mengambil sikap kekal tak menjawab atau mengulas tentang apa yang berlaku.

“Saya istiqamah dengan perjuangan Pas dan sabar dengan apa yang berlaku serta belum masa untuk memberi maklum balas,” katanya dalam siaran langsung tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus terus bertekad melaksanakan tanggungjawab memastikan agenda dan keperluan rakyat di kawasannya dapat dilunaskan.

Beliau turut berharap rakyat di Kuala Nerus gembira dan berpuas hati sepanjang sembilan tahun beliau berkhidmat sejak Mei 2013.

“Saya akan terus melaksanakan tugasan saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus pada masa-masa berbaki sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk memastikan segala agenda dapat dilaksanakan dan keperluan rakyat dapat dilunaskan,” jelas beliau.

Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd. Khairuddin disingkirkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama ekoran masalah disiplin.

Pemecatan itu hadir hanya hampir satu bulan selepas bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu dipecat selaku AJK Pas Pusat.

Mohd. Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada 23 November lalu. – SB