Oleh RAHIMI MOHAMAD
PENJENAYAH dalam buruan berketurunan Rohingya yang dikehendaki polis kerana melarikan diri dari Lokap Mahkamah Majistret Tangkak di Johor pada 15 Disember lalu berjaya diberkas semula.
Lelaki dikenali dengan panggilan Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, itu ditahan dalam satu operasi khas baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, esok mengenai butiran penangkapan suspek.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.
“Saya sahkan dia ditahan kira-kira 3 petang tadi di Kedah,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Long Tiger berjaya meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya bermula.
Long Tiger yang diambil dari Penjara Sungai Udang, Melaka itu sepatutnya berdepan proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan pada hari kejadian.
Lelaki itu juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.
Baru-baru ini, polis turut menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.
Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Selain itu, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.