Siti dedah realiti sebenar, Jakarta lokasi paling mendebarkan

Banyak perkara yang tidak diketahui umum didedahkan oleh penyanyi nombor satu negara ini dalam sebuah filem dokumentari yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.

Menjadi penyanyi disayangi ramai bukan bermakna segalanya sempurna. Datuk Siti Nurhaliza mendedahkan realiti tersebut dalam dokumentari Siti: Are You Ready? sewaktu mengadakan konsert dua tahun yang lalu.

Menerusi Konsert Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour yang menjelajah Malaysia, Singapura dan Indonesia itu, pelbagai kejutan sebenarnya berlaku sepanjang tempoh berkenaan.

Pelbagai suka duka dikongsi buat pertama kali termasuklah sewaktu mahu mengadakan konsert di Jakarta, Indonesia. Konsert tersebut hampir dibatalkan kerana sambutan yang kurang memberangsangkan.

Masalah berkenaan timbul kerana pihak yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja promosi di Indonesia tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.

Dokumentari Siti: Are You Ready? yang berdurasi 80 minit bakal ditayangkan mulai 30 Disember ini menerusi ASTRO First dengan harga RM19.90.

“Saya sempat fikirkan apa yang terbaik pada saat akhir untuk tingkatkan penjualan tiket di sana.

“Jadi, saya pergi lebih awal ke Jakarta daripada perancangan asal dan minta pertolongan rakan-rakan artis di Indonesia untuk promosikan konsert menerusi Instagram mereka.

“Saya cuba sehabis baik, suami pun bersama-sama fikirkan yang terbaik termasuklah mengeluarkan bajet untuk iklan dalam radio di Indonesia.

“Selain itu, saya juga pergi ke semua stesen radio dan televisyen yang boleh untuk tujuan promosi. Alhamdulillah, pada hari konsert stadium penuh dengan peminat dan semuanya berjalan dengan lancar,” dedahnya.

Tambahnya lagi, ada beberapa hal lain tang terjadi tidak dimasukkan ke dalam naskhah ini memandangkan ia terlalu sensitif untuk dikongsi bersama .

Dia hanya memaparkan kisah-kisah penting untuk tontonan peminat mengetahui yang bukan mudah untuk melalukan sesuatu perkara seperti yang dirancang.

“Sebenarnya, banyak lagi kisah yang kami tidak masukkan kerana sensitif. Namun akhirnya semua yang dirancang menjadi kenyataan.

“Apa yang penting dapat membuat persembahan terbaik dan konsert berjalan dengan lancar,” katanya ketika melancarkan dokumentari berkenaan pada Rabu.

Mengharapkan sambutan peminat, pelbagai kisah menarik turut dikongsi oleh penyanyi ini dalam dokumentari berkenaan termasuklah sisi lain yang tidak diketahui umum.

Berdurasi 80 minit, Siti: Are You Ready? ini juga bakal ditayangkan mulai 30 Disember ini menerusi ASTRO First dengan harga RM19.90.

Buat mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei, anda boleh menonton dalam platform Vimeo on Demand bermula 30 Disember ini.