SEBUAH prototaip skrin televisyen yang berupaya untuk meniru rasa makanan selain membolehkan penonton menjilat skrin telah dibangunkan oleh seorang Profesor di Universiti Meiji di Tokyo, Jepun.
Prototaip yang dikenali sebagai ‘Taste the TV’ (TTTV) itu berfungsi 10 tin perasa berbeza yang akan digabungkan untuk meniru perisa sesuatu makanan yang dipilih.
Sampel perisa makanan itu kemudian disembur ke kaca skrin televisyen bagi membolehkan penonton mencuba rasa makanan dengan menjilat skrin berkenaan.
Penciptanya, Profesor Homei Miyashita berkata, televisyen ciptaannya itu membolehkan orang ramai berinteraksi dan berhubung dengan dunia luar.
“Matlamatnya adalah untuk memberikan pengalaman kepada penonton seperti makan di restoran di negara lain walaupun mereka berada di rumah sendiri,” katanya seperti yang dilaporkan oleh The Guardian.
Sebelum ini, Miyashita bekerjasama dengan 30 orang pelajar dan telah menghasilkan beberapa ciptaan berkaitan dengan perisa seperti garfu yang meningkatkan kelazatan makanan.
Katanya, prototaip skrin TV ini dibangunkan sepanjang tahun lalu dan versi komersial akan menelan belanja sebanyak 100,000 Yen (RM 3,673).
Selain membolehkan orang ramai dapat berinteraksi dan mencuba pengalaman rasa makanan berbeza,teknologi itu turut memberi peluang kepada tukang masak untuk belajar memasak dalam jarak jauh, menyertai kuiz dan sebagainya. –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.