MPN jamin tangani segera tiga isu dihadapi komuniti perniagaan

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) memberi jaminan akan menangani segera isu yang dihadapi komuniti perniagaan seperti aliran tunai, pembiayaan serta kekurangan tenaga kerja.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dua Jawatankuasa Tindakan Khas yang telah dibentuk oleh MPN akan membentangkan laporan dan cadangan masing-masing berkaitan isu yang dihadapi itu.

“Saya telah mengadakan lawatan kerja satu hari ke Kuching, Sarawak selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Dalam lawatan tersebut, saya berpeluang bertemu dengan para pemain industri negeri ini menerusi satu sesi libat urus (townhall) dengan mereka.

“Dalam sesi tersebut, saya berkongsi dengan para peserta tentang fokus dan hala tuju pemulihan negara terutama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pemberian bantuan dan pemulihan segera dalam semua sektor, terutama sektor-sektor kritikal” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam Rabu.

Menurut Muhyiddin beliau juga telah mengumumkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri yang akan memberi fokus lebih spesifik kepada isu-isu di negeri ini bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih cepat dan proaktif dapat dilaksanakan,

Bekas Perdana Menteri itu berkata, MPN akan bersidang buat kali keenam esok bagi membincangkan beberapa isu berkaitan usaha pemulihan negara.

“Isu-isu ini sangat penting untuk ditangani segera bagi memastikan momentum pemulihan negara terus berjalan dengan baik dan mampu melangkau pencapaian tahun-tahun sebelum pandemik,” katanya.

Muhyiddin berkata pada pertemuan itu, pemain industri turut membangkitkan isu polisi kabotaj, gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan kos barangan di Sarawak serta isu-isu lain berkaitan keperluan untuk kelangsungan perniagaan.

“Mengenai isu sosial pula, mereka melahirkan kerisauan tentang impak kepada sektor pendidikan akibat penutupan sekolah dan institusi pendidikan sehingga berlaku ketinggalan dan keciciran dalam pembelajaran.

“Antara yang telah dibangkitkan oleh pemegang-pemegang taruh dalam kalangan komuniti perniagaan Sarawak ialah isu kekurangan tenaga kerja dan masalah mendapatkan pembiayaan segera oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang,” katanya. – SB