Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua polis tak mengaku rasuah babit kes air ketum -

Dua polis tak mengaku rasuah babit kes air ketum

Oleh RAHIMI MOHAMAD

DUA anggota polis mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen, Johor Bahru hari ini selepas dihadapkan atas tiga pertuduhan rasuah termasuk menerima suapan sebanyak RM4,500, pada Mac tahun lalu.

Anggota berpangkat Lans Koperal Farid Rosni, 35, dan Konstabel Clinton Kudang Gangga, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal.

Mereka didakwa meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Amirul Hafiz Azmi, 23, sebagai dorongan untuk melepaskan pemuda itu dan rakannya yang ditahan kerana memiliki air ketum.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu, Pandan, Johor Bahru, pada pukul 6.30 petang, 10 Mac tahun lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara bagi pertuduhan kedua, mereka berdua didakwa bersetuju menerima suapan RM4,500 daripada Muhammad Amirul sebagai dorongan melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya pada pukul 9.45 malam di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga yang turut dilakukan di tempat dan tarikh tersebut pada pukul 10 malam, Farid dan Clinton didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,500 daripada Rafsanjani Rosli, 33, sebagai dorongan melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda mimimum lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 masing-masing mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Muhammad Faizuddin Abd. Ra’fik.

Nur Mahirah menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebuatan semula kes dan serahan dokumen. – SB