Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bekas pengurus ladang mengaku tidak bersalah terima rasuah -

Bekas pengurus ladang mengaku tidak bersalah terima rasuah

BEKAS Pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terenganu hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM27,500 untuk kerja-kerja pembekalan di Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman, enam tahun lalu.

Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Sauddin didakwa menerima suapan wang berjumlah RM27,500 daripada Tham Mun Hing untuk terus memilih Syarikat TP Parts & Machinery dan Syarikat SS Terus Jaya Enterprise bagi membuat pembekalan barangan kepada Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman, antara Julai hingga Disember, enam tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan, Sauddin didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Kesalahan itu membawa penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Zaudii Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu daripada Tetuan Sharif Ridzuan & Co.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap 1 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 3 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.