MISTERI kehilangan wang RM50, RM100 membabitkan Kampung Pulong, Chicha, Kenali dan Pulau Raja di Kota Bharu menghantui lebih 70 penduduk yang didakwa berlaku sejak 10 tahun lalu.
Penduduk dari empat kampung di Mukim Kubang Kerian itu mendakwa, kejadian misteri tersebut angkara toyol.
Dakwaan mistik itu timbul apabila beberapa siri kehilangan wang itu dikatakan pelik kerana kejadian tidak disedari dan tidak meninggalkan sebarang kesan langsung.
Seorang mangsa, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, yang tinggal di Kampung Pulong berkata, dia dan keluarga mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,000 akibat misteri berkenaan sejak setahun lalu.
“Duit kerap kali hilang tanpa mengira waktu dan hilang dalam pelbagai jumlah bermula RM50 sehingga RM1,000. Terbaharu berlaku pada Jumaat lalu apabila duit RM500 yang diletakkan dalam dompet didapati hilang.
“Sebelum itu, pada petang Khamis, saya mengeluarkan wang tunai RM1,000 dari bank untuk diberikan kepada ibu bapa, tapi pada petang Jumaat, wang RM500 disedari lesap tanpa kesan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Dia berkata, pelbagai cara dilakukan bagi mengelakkan terus menjadi mangsa, namun semua gagal serta buntu, malah wang milik anak-anak turut hilang.
“Pelbagai cara dilakukan, lipat duit, gumpal dan menyembunyikan di mana-mana tempat tersorok, alih-alih hilang juga.
“Kejadian ini sangat aneh dan sememangnya tidak boleh dibiarkan lagi kami sudah mengalami banyak kerugian dan akan membuat laporan polis berkait perkara ini,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 41, berkata, misteri kehilangan wang tunai membabitkan 15 ahli keluarganya yang tinggal di Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian sudah berlaku sejak 10 tahun lalu dan terbaharu pada awal tahun ini.
Katanya, dia mencuba pelbagai cara termasuk menyimpan wang dalam peti sejuk dan sentiasa membawa beg tangannya, namun wang kertas RM50 dan RM100 yang berada di dalam dompet tetap hilang.
““Selain RM50 atau RM100, kepingan wang RM20, RM10, RM5 dan RM1 tidak pula hilang.
“Perkara ini sudah terlalu lama berlaku menyebabkan saya sangat berhati-hati dan sentiasa membawa beg duit ke mana-mana sahaja, namun kejadian hilang duit masih berlaku,” ujarnya.
Menurutnya, pada awal kejadian lalu, dia dan keluarga berdepan kesukaran kerana pandangan sinis masyarakat yang mendakwa kejadian itu membabitkan ahli keluarga sendiri.
“Saya ada tiga anak-anak lelaki berusia 10 tahun hingga 17 tahun. Kejadian hilang duit ini membabitkan tujuh ahli keluarga saya yang tinggal berasingan termasuk duit ibu dan arwah bapa, adik-beradik dan ipar.
“Saya mula-mula marah pada anak-anak kerana menyangkakan mereka yang mencuri tetapi apabila berlaku kepada orang lain sehingga 15 keluarga di satu kampung, barulah kami sedar yang kejadian ini sangat ganjil,” katanya.
Malah, katanya, anak saudara perempuannya yang berusia 28 tahun turut menjadi mangsa apabila wang tunai RM1,000 yang disimpan untuk majlis akikah anak sulungnya pada Aidiladha tahun lalu, hilang.
Dia menyimpan duit berkenaan dengan cara menindih dengan batu bata bagi mengelakkan dicuri atau diketahui orang.
“Semasa nak ambil duit tersebut, saya didapati sudah hilang dan memang terkejut dan sedih,” katanya.
Siti pernah meminta bantuan seorang ustaz pada awal tahun ini dan sejak itu kejadian wang hilang sudah tidak berlaku di rumah keluarganya.
“Sebaliknya, kampung lain pula kecoh dengan kejadian kehilangan wang sehingga ada yang rugi mencecah RM10,000,” katanya.
Tambahnya, mangsa-mangsa yang terlibat bagaimanapun tidak membuat laporan polis kerana menganggap kejadian dilakukan oleh makhluk halus.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.