Dakwaan Mat Sabu terhadap Hadi satu pembohongan – Khairil Nizam

KENYATAAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu parti itu berpisah daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana hudud dan negara Islam satu pembohongan.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, apa yang jelas adalah dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohamad telah menghina Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, namun akhirnya memilih untuk bersama parti berkenaan tanpa rasa bersalah.

“Tuduhan ini lahir dari seorang yang sudah biasa menipu dan kita sedia maklum yang terdapat banyak kenyataan Presiden Amanah sebelum ini jelas menipu rakyat dan ahli partinya sendiri.

“Rakyat Malaysia dan ahli Pas pasti masih ingat kata-kata Mat Sabu dalam satu ceramah semasa masih bersama kami di mana beliau menyatakan sekiranya keluar daripada perjuangan ini (Pas), jangan ikut kerana mungkin masa itu dirinya sudah tidak siuman,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad dalam satu ceramah pada Isnin mendakwa Abdul Hadi tidak menceritakan perkara sebenar punca Pas tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP kerana parti itu mahu bersama UMNO selepas PRU13.

Dakwanya lagi, Pas memutuskan kerjasama dengan DAP kerana berhasrat mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO dan perkara itu dipersetujui dalam perbincangan Muktamar Pas pada 2015.

Jelas Khairil Nizam, parti itu tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan malah sejarah Pas memilih untuk tidak bersama DAP juga adalah kerana prinsip ini.

“Hari ini, mereka yang mengutuk Pas kononnya mahu bersama UMNO untuk kuasa adalah mereka yang berada dalam Kerajaan Madani PH-UMNO. Ini juga adalah satu pembohongan pada rakyat,” kata beliau, lapor Sinar Harian.