PN tuntut firma insurans beri penjelasan penggunaan data skim Insan

0
187

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham menuntut penjelasan daripada syarikat insurans, AmGeneral Insurance berhubung kebocoran data peribadi beliau dan jutaan penduduk negeri Selangor yang didaftarkan di bawah Skim Insurans Hayat Selangor (Insan).

Menurut pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu, situasi itu menjadi kebimbangan kerana polisi insurans didaftar tanpa persetujuan mereka.

“Ini isu kedaulatan rakyat dan negeri kerana kita tak mahu syarikat mempunyai kebebasan menjual data peribadi kepada syarikat lain, atau kepada musuh negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau dan beberapa aktivis termasuk Badrul Hisham Shaharin menyerahkan memorandum kepada pengurusan syarikat AmGeneral Insurance di Brickfields hari ini.

Hilman membangkitkan isu pegangan saham kerajaan negeri dalam syarikat Wavpay Fintech Sdn Bhd pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas. 

Katanya ketika itu, kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan terhadap data-data milikan syarikat walaupun melabur RM10 juta untuk pembelian sebahagian saham syarikat. 

Katanya, beliau tidak pernah mendaftar dalam skim tersebut namun telah mempunyai sijil insurans.

“Akta Perkhidmatan Kewangan jelas menyebut insurans hanya sah apabila polisi dikeluarkan. 

“Kalau ia merupakan satu polisi, saya ingin mendapat maklum balas daripada syarikat insurans bagaimana mereka mendaftarkan saya tanpa persetujuan,” katanya lapor Malaysianow.

Antara lain, memorandum tersebut mendakwa AmGeneral Insurance dan Takaful Ikhlas melakukan jenayah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan ekoran data rakyat diperoleh secara haram untuk mendaftarkan penama dalam polisi insurans.

Ini termasuk penama yang sudah meninggal dunia. 

Insan menjadi kontroversi apabila beberapa pempengaruh media sosial mendedahkan beberapa nama telah didaftarkan tanpa persetujuan mereka.

Persoalan juga timbul mengenai status Wavpay Fintech Sdn Bhd yang sebelum itu dilaporkan syarikat pinjaman wang berlesen.

Menurut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ia hanya proses pra-pendaftaran dan penama perlu mengesahkan persetujuan polisi itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here