Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bukit Aman siasat ceramah Abdul Hadi dalam PRK pertikai kuasa Lembaga Pengampunan -

Bukit Aman siasat ceramah Abdul Hadi dalam PRK pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menyiasat kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas Pas Bakri, Muar malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

“Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada malam kelmarin, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

Menurut Abdul Hadi, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

“Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

Justeru bekas Duta Khas bertaraf menteri itu lagi, Pas mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.