Abdul Hadi sedia beri keterangan kepada Bukit Aman

0
148

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor.

Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman berkata, pihaknya telah dihubungi Bukit Aman pagi tadi untuk memberi keterangan.

“Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Tan Sri Tuan Guru dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman.

“Malah sebelum ini Tan Sri Tuan Guru telah pun memberikan keterangan kepada Bukit Aman, termasuklah menyerahkan peranti (telefon bimbit) milik pengendali akaun Facebook rasmi beliau (Setiausaha Akhbar) kepada pihak Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu siasatan.

“Dalam hal ini, Tan Sri Tuan Guru menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak PDRM dan SKMM dalam menjalankan tugas dan siasatan,” katanya menerusi Facebook hari ini, lapor Sinar Harian.

Hari ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat kenyataan Abdul hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah beliau di Markas Pas Kawasan Bakri, Muar pada 26 Ogos 2023.

Menurut Kamarul Zaman, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duannya.

Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here