Lelaki gelandangan ditemui mati dalam longkang

0
180

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki gelandangan ditemui sudah meninggal dunia dalam longkang di Jalan Sultanah, bandar Batu Pahat pukul 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, orang awam memaklumkan kepada anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berkenaan penemuan mayat tersebut.

Susulan itu katanya, pihak polis dengan bantuan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat kemudian mengeluarkan mangsa.

“Hasil pemeriksaan fizikal pada tubuh mangsa, mendapati tiada sebarang kecederaan yang berunsur jenayah. Si mati dipercayai telah jatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit di tempat kejadian dan lemas akibat pengaliran air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat orang awam, mangsa merupakan seorang gelandangan yang sering kelihatan di kawasan tersebut.

Katanya, siasatan lanjut BN dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pihak polis meminta orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan si mati supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan pihak polis. Maklumat boleh juga disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat melalui talian 07-4363300. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here