PRK:Sokongan rakyat kepada PN dijangka semakin meningkat-Tuan Man

TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) dijangka memuncak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

“Senario ini bakal mengulangi kemuncak sokongan rakyat kepada PN seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.”

Jelasnya, sebelum ini gelombang rakyat tidak berlaku semasa PRN Johor kerana diadakan lebih awal namun situasi politik ketika ini tidak sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Sebab itu ia penting PRK ini kita mahu tengok bagaimana momentum sokongan di seluruh negara, (enam negeri yang melalui PRN baru-baru ini) akan turut dirasai di negeri ini.

“Oleh itu, PRK Pulai dan Simpang Jeram juga akan menjadi pengukur sejauh mana sokongan rakyat Johor terhadap Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Bakri di Muar, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Pengerusi PN Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan calon PN DUN Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, PN menyasarkan sejumlah 70 peratus rakyat Johor akan keluar mengundi bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram kali ini.

Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan kepada situasi yang berlaku pada PRN di enam negeri baru-baru ini yang menyaksikan peratusan keluar mengundi meningkat.

“Kalau kita tengok situasi yang berlaku pada PRN di enam negeri yang lepas peratus yang keluar mengundi agak tinggi.

“Sekali gus, ini menunjukkan rakyat mahukan gelombang perubahan dan kita sasarkan rakyat Johor akan keluar mengundi pada PRK di dua kawasan berkenaan (Pulai, Simpang Jeram),” katanya, lapor Sinar Harian.