Hamzah sahkan akaun dibeku, serah surat tuntutan kepada SPRM

0
110

DATUK Seri Hamzah Zainudin mengesahkan akaun bank beliau dan isterinya dibekukan sejak semalam.

Ketua pembangkang mendakwa, tindakan itu diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan di Putrajaya.

“Pembekuan ini yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat kepercayaan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri dalam negeri itu mendakwa, ia taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN selepas gabungan tersebut menang 146 daripada 245 kerusi DUN pada PRN enam negeri 12 Ogos lalu.

Hamzah tidak menolak akan ada lebih banyak tindakan politik dikenakan terhadapnya dan pemimpin PN dalam masa terdekat termasuk menggunakan polis.

“Kezaliman kerajaan PH-BN ini tidak akan menghentikan perjuangan saya. Demi masa depan negara dan rakyat saya akan terus melawan kerajaan zalim ini,” katanya.

Katanya, pendakwaan politik terhadapnya sama seperti kes melibatkan Datuk Seri Muhyiddin Yassin, di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah.

Hamzah berkata, beliau juga sudah menyerahkan surat tuntutan kepada SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan kerajaan Malaysia.

“Peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan mahkamah terhadap SPRM, ketua pesuruhjaya SPRM dan kerajaan Malaysia kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan akaun bank Hamzah dan ahli keluarganya dipercayai dibekukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Difahamkan, pembekuan itu dilakukan semalam, dan tindakan berkenaan dipercayai sebahagian daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap Hamzah berhubung kes rasuah RM15 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here