PM digesa beri tumpuan penuh pulih ekonomi

0
140

KERAJAAN campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberi tumpuan ke arah usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dengan kadar segera, kata Datuk Marzuki Mohamad.

Gesaan dibuat bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan itu susulan data terbaharu menunjukkan pertumbuhan ekonomi menyusut kepada 2.9 peratus yang jauh lebih rendah berbanding tahun lalu adalah sesuatu yang perlu dipandang serius kerajaan campuran.

Berbeza semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dibawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, hampir setiap minggu mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi mengambil langkah segera dalam membuat keputusan-keputusan utama mengenai ekonomi negara.

“Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri dan keanggotaanya termasuklah menteri-menteri berkaitan ekonomi, Gabenor Bank Negara dan wakil-wakil industri bermesyuarat setiap minggu.

“Di sinilah indikator-indikator utama ekonomi dipantau dan keputusan-keputusan penting mengenai hala tuju ekonomi negara dibuat dan diambil tindakan segera oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Marzuki berkata, menerusi langkah ini apa sahaja permasalahan yang membantut pertumbuhan ekonomi dapat diatasi dengan segera dan kerajaan dengan sokongan pihak industri bertindak sebagai pemudah cara pemulihan ekonomi.

“Bagi saya apa yang berlaku sekarang ini menunjukkan ekonomi negara gagal diurus dengan cekap oleh kepimpinan kerajaan hari ini.

“Kerajaan perlu menyediakan satu peta arah tuju yang jelas bagaimana negara kita dapat keluar daripada kelembapan ekonomi dan masalah kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyusut kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi 2.9 peratus pada suku tahun kedua 2023 didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, selain permintaan luaran yang lebih perlahan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, permintaan dalam negeri kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan.

Pertumbuhan pada suku kedua juga dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi pada suku kedua tahun 2022 apabila ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang kukuh berikutan kesan pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah dasar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here