‘PH pandang rendah sokongan akar umbi terhadap Azmin’

0
151

SEORANG penganalisis politik percaya Pakatan Harapan (PH) mungkin memandang rendah sokongan di Selangor terhadap bekas pemimpin PKR di negeri itu, khususnya Datuk Seri Azmin Ali dan mereka yang sealiran dengannya.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, kekurangan perhatian PH ditunjukkan melalui kerja di lapangan yang tidak mencukupi sebelum PRN, dan dalam keputusan PKR meletakkan calon “payung terjun” menentang Azmin.

PH dan sekutunya dalam gabungan persekutuan, Barisan Nasional (BN) “sepatutnya turun padang secara agresif, sebagai satu pasukan, untuk menjelaskan kerjasama mereka dan mengukuhkan sokongan akar umbi”, kata Awang Azman kepada FMT.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan nampaknya mengandaikan akan berlaku perpindahan undi – undi BN kepada calon PH dan sebaliknya – tetapi ini tidak berlaku.

Awang Azman berkata, PKR membuat keputusan yang merugikan apabila meletakkan bekas Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menentang Azmin di Hulu Kelang, kerusi yang pertama kali dimenangi Azmin pada 1999.

Beliau berkata, sokongan akar umbi di Selangor padu buat Azmin dan penyokong utamanya, Hilman Idham dan Dr Afif Bahardin, yang membantu mereka menang masing-masing di Hulu Kelang, Gombak Setia dan Taman Medan.

“Mereka pemimpin PKR sebelum berpaling tadah kepada Bersatu, mereka terkenal dalam kalangan pengundi, malah Azmin juga bekas menteri besar Selangor,” kata Awang Azman, lapor FMT.

Sokongan terhadap PKR di Selangor sebelum ini bukan sahaja berkait dengan parti itu sendiri, tetapi juga terhadap pemimpin akar umbi, termasuk yang terlibat dalam Langkah Sheraton pada 2020, apabila beberapa Ahli Parlimen Bersatu dan PKR bergabung dengan BN dan PAS, menyebabkan kejatuhan kerajaan PH ketika itu.

“Ramai penyokong Azmin pada peringkat akar umbi tetap setia kepadanya, dan mereka terus bersamanya, memastikan komitmen penuh mereka terhadap perjuangannya dan memastikan mereka berusaha sedaya upaya untuk meraih kemenangan,” katanya.

Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia berkata, Azmin and Hilman sangat dikenali di Selangor.

“Pengundi mengambil kira perkara ini, walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan agenda PN,” katanya.

Azmil berkata, penyokong tegar PH mungkin tidak memaafkan tokoh-tokoh berkenaan atas peranan mereka dalam Langkah Sheraton tetapi yang menyokong mereka sebagai ahli politik sanggup mengabaikan hakikat itu.

Bagaimanapun, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kemenangan ketiga-tiga tokoh itu merupakan hasil daripada peralihan minat pengundi Melayu di Selangor yang memihak kepada ideologi politik lebih konservatif dan berorientasikan agama.

“Pengundi merasakan Bersatu, yang bersama PAS dalam PN, lebih sejajar dengan pilihan politik konservatif mereka,” katanya.

Tambahnya, pengundi tidak kisah tentang calon kerana mereka cenderung mengundi logo PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here