PAC akan dedah nama saksi enggan hadir prosiding

SEMUA bekas pegawai pengawal dan ketua setiausaha (KSU) perlu hadir ke prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan isu yang timbul semasa mereka menerajui kementerian, jabatan atau agensi kerajaan terlibat.

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin berkata ia bagi memastikan jawatankuasa itu dapat menjalankan siasatan menyeluruh kerana ketidakhadiran bekas pegawai pengawal serta KSU akan menyebabkan laporan PAC tidak komprehensif.

“PAC mengambil maklum tempoh perkhidmatan pegawai pengawal dan KSU yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) biasanya melangkaui tempoh perkhidmatan sedia ada, hingga menyebabkan mereka gagal memberikan penjelasan terhadap isu kerana ia bukan berlaku dalam tempoh perkhidmatan mereka.

“Justeru, amat penting semua pegawai pengawal dan KSU bertanggungjawab terhadap PAC seperti termaktub dalam Arahan Perbendaharaan (Pindaan 2023) dan hadir apabila dipanggil jawatankuasa untuk menghadiri prosiding ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keengganan bekas pegawai pengawal dan KSU menghadiri prosiding PAC adalah kesalahan di bawah Seksyen 9 (a) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Katanya, PAC akan mendedahkan nama saksi enggan hadir prosiding PAC supaya rakyat tahu isu disiasat jawatankuasa itu tidak mendapat kerjasama daripada individu berkenaan.

Pada masa sama, PAC menuntut ketua setiausaha negara (KSN) dan ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA) mengambil maklum, sekiranya terdapat bekas pegawai pengawal dan KSU enggan hadir prosiding jawatankuasa itu.

“PAC juga mahu satu mekanisme diwujudkan kerajaan agar semua bekas pegawai pengawal dan KSU yang dipanggil, menghadirkan diri ke prosiding PAC,” katanya lapor FMT.

Mas Ermieyati berkata, penting untuk PAC menyediakan laporan komprehensif dan telus dengan mengambil kira keterangan serta penjelasan semua pihak berkepentingan dalam isu disiasat supaya laporan itu benar-benar seimbang demi kepentingan semua pihak.

Katanya, laporan PAC yang komprehensif dan telus selaras kehendak Ahli Parlimen ketika perbahasan berkaitan LKAN di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mahukan PAC menyiasat lebih terperinci isu dibangkitkan dalam laporan itu.