Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan Kelantan perkukuhkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan – Nassuruddin -

Kerajaan Kelantan perkukuhkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan – Nassuruddin

KERAJAAN Kelantan akan mengambil pendekatan matang bagi memperkukuh hubungan dengan kerajaan Persekutuan atas semangat federalisme demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Kelantan yang baharu dilantik Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang kukuh penting untuk manfaat semua khususnya rakyat.

“Selain itu, kita juga akan teruskan legasi membangun bersama Islam (MBI)…dasar ini terbukti meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran dan kemakmuran negeri serta kebajikan rakyat. Turut menjadi keutamaan saya ialah untuk menjadi Menteri Besar kepada seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya lapor BERNAMA.

Mohd Nassuruddin berkata demikian pada sidang media pertama beliau sebagai Menteri Besar Kelantan di bangunan MABNA-MBI, di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada 8.30 pagi ini bagi memulakan tugas hari pertamanya sebagai Menteri Besar.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.

Mohd Nassuruddin, yang merupakan Menteri Besar Kelantan ketiga selepas Pas mengambil alih Kelantan pada 1990, berkata barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah diperkenan dan dilantik Sultan Kelantan adalah saf kepimpinan seimbang dan terbaik daripada pelbagai bidang khususnya ulama, teknokrat dan profesional.

“Apa yang penting konsep musyawarah merupakan asas kekuatan pada kerajaan ini seperti yang diamalkan oleh pentadbiran sebelum ini. Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan untuk meneruskan legasi MBI,” katanya.

Semalam, Mohd Nassuruddin mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian. Sembilan ADUN turut mengangkat sumpah sebagai Exco Kelantan.

Beliau berkata portfolio kesemua Exco berkenaan akan disusun dan diumumkan dalam masa terdekat.