Faktor Zahid, sentimen ‘No Anwar, No DAP’ punca UMNO kalah di Terengganu

0
231

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

FAKTOR Ahmad Zahid Hamidi dan sentimen ‘No Anwar No DAP’ yang dikatakan masih menebal dalam kalangan pengundi khususnya para penyokong peringkat akar umbi UMNO adalah antara penyumbang terbesar kekalahan parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, Sabtu lalu.

Hal ini kerana tindakan Presiden UMNO itu memecat serta menggantung keahlian pemimpin tidak sebulu dengannya menyebabkan ada kalangan ahli keluar parti.

Walaupun pelbagai penafian dibuat pemimpin UMNO berhubung ahli keluar parti, namun realitinya mendapati ahli UMNO kini semakin menyusut dan terpaksa akur apabila kesemua calonnya tewas dalam PRN kali ini.

Ramai pemimpin veteran UMNO di negeri ini mendakwa campurtangan Ahmad Zahid serta kepimpinan parti itu di peringkat pusat dalam menentukan calon yang bertanding dalam PRN turut dikaitkan dengan kekalahan besar tersebut.

Ia menyebabkan timbulnya masalah dalaman sehingga berlaku protes akibat percaturan calon dibuat bukan kehendak pengundi setempat.

Antaranya ialah melibatkan calon di kerusi DUN Ajil, Kuala Berang, Alor Limbat dan Hulu Besut yang dipersoalkan jentera parti sebaik pengumuman dibuat. Malah, penganalisis dan pemerhati politik tempatan menyatakan isu campurtangan mengenai calon mula terkesan ketika Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14) melibatkan calon kerusi Parlimen Kuala Nerus pada 19 November tahun lalu.

Ketika itu UMNO Negeri dan Bahagian Kuala Nerus dikatakan mencadangkan nama Apli Yusof, sebaliknya pemimpin pusat mahukan Mohd Khairuddin Aman Razali.

Akibat rasa tidak berpuas hati, terdapat ahli dan para penyokong parti itu mengadakan protes dengan tidak keluar mengundi apatah lagi isu ‘No Anwar No DAP’ bergegar di seluruh negeri.

Dalam konteks rakyat dan pengundi Terengganu sama ada mewakili parti UMNO atau Pas, mereka sememangnya sukar untuk menerima serta memangkah mana-mana calon mewakili parti yang bersekongkol dengan DAP.

Malah, kegagalan Pas untuk memerintah Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 dikatakan kerana parti itu bergabung dengan Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai DAP.

Faktor itulah yang menyebabkan beberapa calon Pas tumbang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Berdasarkan sejarah dan pengalaman itulah mengapa Pas mula menjauhi PR dan DAP sebelum bertemu gandingan baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan.

Kehadiran UMNO selepas itu yang turut bergabung bersama Muafakat Nasional (MN) pada mulanya memberikan perkhabaran amat mengembirakan kepada rakyat di negeri ini sehingga mereka sanggup turun berhimpun di Dataran Merdeka Kuala Lumpur bagi meraikannya.

Malangnya selepas tindakan Zahid bertindak memecat pemimpin kanan parti yang tidak sebulu dengannya di samping membuat keputusan meninggalkan Pas dan Bersatu untuk bersama Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP, maka musnahlah sudah harapan rakyat untuk membina sebuah gabungan politik terkuat di negara ini diwakili oleh orang Melayu.

Ramai berpendapat UMNO perlu kembali kepada perjuangan asalnya dengan meninggalkan kerajaan perpaduan yang disertai DAP atau bergerak secara solo sekiranya mahu kembali diberi nyawa seterusnya menang dalam PRU16 akan datang.

Maka itu, parti tersebut perlu berani untuk membuat pembaharuan dengan terus mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan atau mengadakan undi tidak percaya kepada Presiden.

Ini kerana ujar veteran UMNO selagi ada Zahid di samping sentimen ‘No Anwar No DAP, majoriti rakyat Terengganu tidak akan pangkah bukan sahaja calon mewakili Pakatan Harapan (PH), tetapi juga calon UMNO sendiri.

Perkara ini terbukti dengan apa yang sudah berlaku dalam PRN Sabtu lalu.

Kekalahan 32-0 calon UMNO dan PH di kesemua kerusi DUN Terengganu bukan setakat memalukan parti, sebaliknya ia turut merugikan ahli dan para penyokongnya. pemimpin UMNO sama ada di peringkat pusat atau negeri perlu mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan masing-masing!

Usah lagi difikirkan soal jawatan dan calon untuk PRU-16, kalau sudah kalah terimalah kekalahan itu dan serahlah tanggungjawab kepada pemimpin baharu bagi meneruskan perjuangan parti.

PRN Sabtu lalu gabungan BN-PH bukan setakat gagal mentadbir negeri, sebaliknya kesemua calon yang bertanding kecuali Telemung tewas dengan majoriti besar.

Selain itu BN juga turut kehilangan 10 kerusi dimenangi pada PRU14 lalu iaitu Seberang Takir, Kijal, Jertih, Hulu Besut, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Bukit Besi dan Telemung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here