Pemuda Bersatu desak Azam Baki, Idrus Harun letak jawatan

0
150

PEMUDA Bersatu mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun meletak jawatan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pagi tadi membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada tuduhan salah guna kuasa.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keputusan mahkamah itu menunjukkan tuduhan terhadap Muhyiddin sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan mencemarkan imej bekas perdana menteri berkenaan, yang juga presiden Bersatu.

“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi, Pemuda Bersatu mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Peguam Negara Idrus Harun letak jawatan serta merta,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin membatalkan empat tuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Hakim Jamil Hussin berkata, tuduhan itu tidak mendedahkan dengan jelas sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin membuat pembelaannya.

Katanya, tuduhan itu kekurangan butiran mencukupi seperti yang dikehendaki bawah Seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 19 April lepas, Muhyiddin memohon mahkamah membatalkan tuduhan itu dan membebaskannya. Beliau turut memohon semua prosiding di Mahkamah Sesyen, tempat beliau didakwa, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan pembatalan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here