TIMBALAN Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Allaudeen Abdul Majid, dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Allaudeen menggantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, dengan disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.
Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kuala Lumpur daripada Datin Seri Ennie Salina Roseli kepada Datin Dr Kamariah Omar.
Azri dalam ucapannya berharap Allaudeen dapat memikul tanggungjawab dan meneruskan agenda memacu prestasi kontinjen ke tahap lebih baik.
“Berbekalkan pengalaman yang ada pada Allaudeen sebelum ini, ia pasti dapat membantu beliau menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang.
“Saya berharap semua warga Polis Kuala Lumpur dapat memberi kerjasama dan sokongan padu sepanjang kepimpinan beliau,” katanya.
Azri turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Shuhaily yang dilantik sebagai Pengarah JSJ yang baharu dan akan memulakan tugasnya itu di Bukit Aman, esok.
“Saya yakin, sepanjang menerajui tampuk kepimpinan Polis Kuala Lumpur, beliau sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan bandar raya Kuala Lumpur,” katanya, lapor BH Online.
Mohd Shuhaily yang bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur sejak 15 Mei lalu, kini mengisi kekosongan jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman selepas penyandangnya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.