PN mampu rampas Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan

0
96

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PAS bersama Perikatan Nasional (PN) mampu merampas pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan.

Keyakinan itu dilaungkan Pesuruhjaya Pas III Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah berdasarkan momentum sokongan rakyat terhadap Pas dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Jelasnya, kejayaan Pas ‘merampas’ enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang selain mengekalkan satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam dianggap sebagai momentum kebangkitan yang ditunggu-tunggu selama ini.

Selain Pas, ujar beliau, keupayaan rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meraih empat lagi kerusi DUN membuktikan gabungan parti itu begitu bersungguh-sungguh untuk ‘menawan’ Pulau Pinang.

“Gelombang PN di Pulau Pinang ketika ini cukup kuat walaupun kita boleh dianggap sebagai satu gabungan parti yang masih baharu.

“Tidak mustahil, Pas dan PN mampu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada DAP dengan usaha keras secara berterusan pada masa depan.

“Kalau nak ikut, DAP pun berapa kali ‘depa’ (mereka) buat Ops Tanjong (sebelum berjaya mentadbir Pulau Pinang). Pilihan raya tahun 1990, 1995, 1998 dan 2004. Semua gagal. Tahun 2008 baru berjaya.

“Lima kali ‘depa’ lancarkan operasi (untuk tawan Pulau Pinang). Jadi, kita (PN) pun baharu lagi dan memang kita nampak gelombang (kebangkitan) sekarang memihak kepada PN,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Terdahulu, beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga buat penggal kedua selepas berjaya menewaskan pencabarnya, Mohd. Naim Salleh yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 5,537.

Mengulas mengenai kejayaannya mempertahankan kerusi DUN tersebut, kata Mohd. Yusni, beliau begitu seronok dan gembira kerana tidak lagi menjadi wakil tunggal pembangkang untuk berbahas pada sesi persidangan DUN selepas ini.

“Insya-Allah, kali ini kita (pembangkang DUN) akan kembali balik dengan lebih kuat dan kita akan tengok apa yang kita boleh tawarkan daripada manifesto (PN) sebelum ini (untuk dilaksanakan).

“Walaupun kita tidak mampu untuk mentadbir dan mengambil alih (kerajaan negeri), tetapi kita tetap akan bawa serta cadangkan kepada pihak kerajaan hari ini (termasuk dari segi projek pembangunan dan sebagainya),” katanya.

Selain DUN Penaga, Pas turut menang di Pinang Tunggal; Sungai Dua; Permatang Pasir, Sungai Bakap; Permatang Berangan dan Pulau Betong. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here