Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ibu dan teman lelaki didakwa bunuh anak -

Ibu dan teman lelaki didakwa bunuh anak

SEORANG ibu dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia sembilan tahun, bulan lepas.

Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan Izuhaizad Ismail, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9, di sebuah rumah di Jalan Panglima 5, Taman Panglima Assam Kumbang di sini antara 10 pagi, 29 Julai dan 10.52 pagi, 30 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah jika tidak dihukum dengan hukuman mati dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 16 Okt ini untuk laporan kimia, bedah siasat, forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

Pada 31 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah dan atas maklumat orang awam dan hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.

Polis kemudiannya menahan ibu mangsa dan teman lelakinya yang turut tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BERNAMA