UMNO bukan lagi parti keramat jika terus bersama PH – Shahidan

0
206

UMNO bukan lagi parti keramat sekiranya memilih untuk terus bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, parti itu juga kini bukan lagi menjadi parti utama sebaliknya berada pada kedudukan kedua atau ketiga dalam kalangan gabungan Kerajaan Perpaduan PH-Barisan Nasional (BN).

“Kita ingatkan ini (hubungan BN dan PH) perkahwinan sementara untuk tempoh ini saja, tapi nampaknya akan bekerjasama sehingga pilihan raya akan datang.

“Ini bermakna UMNO bukan lagi parti keramat kerana UMNO mungkin akan jadi parti nombor dua atau nombor tiga kerana sekarang ini pun kedudukan parti dalam kalangan mereka, DAP mempunyai 40 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 31 kerusi dan UMNO 30 kerusi. UMNO jadi nombor tiga, ” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana N20 Labu Perikatan Nasional (PN) di sini pada Rabu malam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan janjinya yang BN akan terus bersama dengan PH begitu juga Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, seramai 148 Ahli Parlimen daripada semua parti itu akan terus setia menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut Shahidan berkata, Ahmad Zahid tidak lagi sesuai untuk menjadi Presiden UMNO kerana dilihat menjadi beban kepada parti berkenaan termasuk PH.

Malah katanya, seluruh dunia kini mengutuk Anwar kerana Timbalan Perdana Menterinya itu adalah individu yang terlibat dengan kes rasuah.

“Dia (Ahmad Zahid) merupakan liabiliti kerana Anwar kata ok anti rasuah dan tangkap orang sakau. Tapi bagaimana dengan dia yang ada kes di mahkamah?

“Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Zahid pun telah tarik diri dan dengar kata kes ini akan disemak balik, ini kerja-kerja yang akan mengancam Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya menurut Sinar Harian.

Justeru katanya, ini masanya untuk ahli UMNO mengubah masa depan parti mereka dengan menyokong PN pada pilihan raya kali ini.

Tambahnya, jika parti berkenaan sekali lagi tersungkur, beliau menyarankan kesemua pemimpinnya untuk melepaskan jawatan.

“Sokong PN baharu kita boleh buat perubahan dan membela nasib UMNO. Kalau dah kalah, buat apa tunggu lagi.

“Bila kalah semua, UMNO akan jadi baik balik dan pemimpin baharu boleh diketengahkan. Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu budak baik, tak pasal-pasal kena pecat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here