PN janji laksana manifesto segera jika menang PRN Selangor – Muhyiddin

0
101

PERIKATAN Nasional (PN) optimis memastikan segala janji-janji manifesto ditawarkan kepada rakyat Selangor dilaksanakan segera sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu pada Sabtu ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses implementasi mesti dilakukan bagi membolehkan segala janji manifesto ditunaikan dan tidak tertangguh terlalu lama.

“Kenapa (manifesto) tidak boleh lambat, (sebab) rakyat hari ini tidak boleh tahan walaupun sehari (akibat tekanan kos sara hidup),” katanya ketika berucap semasa Program Restart Permatang, Ayuh Bangkit Tanjong Karang di sini malam Selasa.

Muhyiddin berkata, sekiranya PN menang dan mentadbir kerajaan Selangor sudah tentu kerajaan baharu dibentuk mempunyai komitmen besar bagi melaksanakan manifesto bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit” dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion.

“Negara ketika ini berhadapan dengan masalah (ketidaktentuan ekonomi), tetapi tiadakah peruntukan disediakan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM100 bilion, atau RM50 bilion atau RM10 bilion untuk membantu rakyat?

“Selangor kecil pun jika PN menang (sedia peruntukan RM2 bilion) yang diperoleh hasil daripada simpanan untuk selesai masalah rakyat,” jelas beliau menurut laporan Sinar Harian.

Muhyiddin menegaskan, Menteri Besar Selangor yang dilantik mengetuai PN mestilah bertanggungjawab sepenuhnya bagi memulihkan dan memajukan negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, satu badan pemantau bebas juga perlu diwujudkan bagi memantau perbelanjaan digunakan bagi melaksanakan semua janji manifesto PRN Selangor.

Kata beliau, semua perbelanjaan termasuk penerima manfaat itu mesti direkod dalam sistem bagi memastikan pengagihan dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

“Sistem (dilaksanakan mesti mudah dan mesra pengguna) contohnya bagaimana cara memohon bantuan dan paling penting jangan mohon hari ini, tiga tahun baru nak lulus.

“Susah kita (apabila) sampai pilihan raya, (pengundi) cakap (kita) bohong, kata janji nak buat cepat, tetapi dah tiga tahun tak selesai.

“Justeru, kita akan teliti dan lihat (manifesto rakyat) supaya ia akan dilaksanakan sepenuhnya,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here