PRK: Calon PN Johor dimuktamadkan minggu depan

0
112

SENARAI calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, akan diserahkan Perikatan Nasional (PN) Johor kepada pucuk pimpinan untuk dinilai pada minggu depan.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata, setiap sayap parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah diarahkan untuk menghantar tiga nama calon.

“PN Johor telah mengadakan mesyuarat pertama persediaan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, sejurus selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penting pilihan raya itu, pada petang Khamis.

“Antara perkara utama dibincangkan adalah mengenai calon yang bakal diturunkan. Kesemua nama calon tersebut akan pada mesyuarat PN Johor minggu depan, sebelum ia dimuktamadkan oleh pucuk kepimpinan Pusat pada minggu hadapan juga,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

SPR pada Khamis menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here