PN tawar Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor RM2 bilion

0
219

PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bagi membantu rakyat di negeri itu meringankan bebanan kos sara hidup serta merancakkan perniagaan dan ekonomi negeri.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif tersebut terkandung dalam tawaran PN yang bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit” kepada pengundi Selangor.

‘Tawaran ini merangkumi 7 tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran,” katanya berucap melancarkan Tawaran PN Selangor di Shah Alam malam ini.

Berikut merupakan tujuh tunjang utama berkenaan.

TUNJANG 1: SEMARAK MASYARAKAT HARMONI

  1. PN komited untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, termasuk menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor. Kami bertekad melindungi hak setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa meminggirkan hak mana-mana golongan bagi menjalani kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera.
  2. Untuk tujuan ini, PN akan menyediakan dana khas Selangor Harmoni berjumlah RM10 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pelaksanaan program yang memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum. Sebuah agensi khusus Kerajaan negeri juga bakal ditubuhkan bagi memperkasa usaha meningkatkan taraf sosioekonomi kumpulan minoriti khususnya masyarakat India dan komuniti Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

TUNJANG 2: SEJAHTERAKAN KEHIDUPAN RAKYAT

  1. Untuk menangani isu tekanan kos sara hidup, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PN akan memastikan keterjaminan bekalan makanan pada harga yang munasabah melalui pelbagai inisiatif. Antaranya:

a. Memperuntukkan dana khas Tani Bangkit sebanyak RM100 juta kepada usahawan tani muda untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran agromakanan melalui penggunaan teknologi dan automasi;

b. Mewujudkan Hab Mega Makanan melalui insentif Dana Makanan Selangor (DaMaS) bernilai RM150 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran, termasuk tanaman, ternakan dan perikanan berskala besar dan berteknologi tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa;

c. Memperkenalkan program Kebun Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap kebun komuniti yang berpotensi untuk dikembangkan; dan

d. Memperkukuhkan rantaian bekalan makanan di Selangor melalui rangkaian Gerai Prihatin Rakyat untuk menyediakan makanan asas pada harga berpatutan di setiap DUN.

  1. Selain itu, PN juga akan:

a. Memperkenalkan inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dengan peruntukan sebanyak RM312 juta setahun. Inisiatif ini dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas;

b. Mewujudkan inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun dengan menyalurkan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur;

c. Mengecualikan bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor Utara;

d. Menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh Kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600;

e. Mewujudkan skim Rumah Pertama Darul Ehsan merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan serta menyediakan kuota khas bagi keluarga muda;

f. Memperluaskan Skim Peduli Sihat termasuk Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan kepada rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah; dan

g. Memperluaskan kemudahan pengangkutan percuma “Van Selangor Care” bagi memudahkan pergerakan warga emas dan OKU ke pusat kesihatan, serta menyediakan dana berjumlah RM15 juta untuk inisiatif jaringan perkhidmatan Ambulans Komuniti Selangor (AKoS).

  1. Bagi menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang sukan serta merancakkan arena sukan di Selangor, pelbagai program pembangunan sukan akan diperkenalkan seperti:

a. Memperuntukkan dana Infra Sukan Selangor sebanyak RM30 juta setahun bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara fasiliti sukan mesra rakyat;

b. Menyediakan dana khas Sukan Olimpik dan Paralimpik bagi mencungkil potensi dan menggilap bakat anak Selangor dalam bidang sukan untuk bersaing di peringkat dunia; dan

c. Menyediakan insentif Darul Ehsan E-Sports (DEES) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

  1. Untuk kesejahteraan warga emas, PN akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk:

a. Menambah dan memperkasa pusat aktiviti warga emas melalui penyaluran dana sebanyak RM5,000 setahun;

b. Memperkenalkan Skim Desa Pesara Selangor untuk menyediakan kawasan kediaman warga emas yang dilengkapi dengan kemudahan kerohanian, kesihatan dan rekreasi melalui kerjasama dengan pihak swasta; dan

c. Mewujudkan Program Ekonomi Warga Emas bagi menyantuni golongan warga emas untuk melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dan kesukarelawanan.

  1. Keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) turut menjadi keutamaan PN. Untuk itu, PN akan:

a. Mewujudkan peluang ekonomi kepada golongan OKU serta mempergiatkan usaha untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan;

b. Menubuhkan pusat aktiviti, bimbingan dan latihan untuk golongan OKU merentas semua peringkat umur termasuk individu autistik; dan

c. Menyediakan pusat intervensi dan pembangunan OKU untuk kanak-kanak dan remaja;

  1. PN juga akan memberi tumpuan kepada usaha menyantuni keluarga muda dengan menawarkan pelbagai inisiatif-inisiatif. Antaranya:

a. Mewujudkan inisiatif Bina Keluarga Selangor (BKS) sebanyak RM500 untuk pasangan pengantin baharu;

b. Menyediakan insentif Lahir Selangor bernilai RM500 kepada ibu bersalin; dan

c. Memperbanyak rumah transit dan projek perumahan rakyat di kawasan terpilih untuk sewaan kepada pasangan belia yang baru berkahwin.

TUNJANG 3: JUNJUNG PRINSIP TADBIR URUS DAN POLITIK YANG BERSIH

  1. Bagi memperkasa ekosistem pentadbiran Kerajaan Negeri yang prihatin, bersih dan stabil, sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar pelbagai bidang akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung di dalam Tawaran PN Selangor.
  2. Sebaik sahaja PN membentuk kerajaan negeri Selangor, sebuah Majlis Tindakan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor akan diwujudkan supaya tindakan-tindakan segera boleh diambil oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak industri untuk merancakkan semula ekonomi negeri Selangor dan menyegerakan penyelesaian masalah kos sara hidup rakyat.
  3. Sebagai langkah mengiktiraf peranan dan sumbangan sektor awam terhadap pembangunan negeri, elaun khas tahunan sekurang-kurangnya 2 bulan gaji akan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam di negeri Selangor. Jika kedudukan kewangan mengizinkan, kita akan pertimbangkan 3 bulan gaji.
  4. Untuk memastikan perkhidmatan Kerajaan negeri yang cekap dan bertaraf dunia, penggunaan teknologi digital dan data raya pula akan dioptimumkan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan demi manfaat rakyat.

TUNJANG 4: EKONOMI MASA HADAPAN YANG UTUH

  1. Sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, Selangor mesti maju ke hadapan mengambil kira ekonomi masa hadapan. Untuk tujuan ini, PN telah merangka beberapa agenda khususnya melibatkan tenaga kerja muda termasuk:

a. Membina Selangor sebagai hab tenaga kerja masa hadapan dengan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi;

b. Menjadikan Selangor sebagai negeri Just Energy Transition bagi menjamin kelestarian ekonomi masa hadapan;

c. Mempercepatkan perkembangan industri masa hadapan bernilai tinggi termasuk tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan ekonomi digital seperti pusat data, AI dan robotik melalui kerjasama pemain industri;

d. Memperuntukkan RM50 juta untuk memperkasa Invest Selangor bagi mempermudah serta mempercepat pelaburan industri masa hadapan bernilai tinggi; dan

e. Memperuntukkan dana tambahan RM20 juta bagi meningkat dan meluaskan pasaran eksport produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi termasuk memperkenalkan inisiatif Buy Selangor Products di pasaran antarabangsa.

  1. Sejajar dengan pembangunan bakat baharu berkemahiran tinggi, langkah proaktif akan diambil bagi:

a. Meningkatkan peluang latihan industri dalam agensi dan anak syarikat Kerajaan negeri dengan kadar elaun minimum RM1,500 sebulan untuk anak Selangor;

b. Mewujudkan Pelan Industri Kreatif Selangor (PIKS) bagi mempergiat penglibatan belia dalam industri kreatif, termasuk animasi dan kebudayaan;

c. Memperkenalkan inisiatif NextGen Selangor dengan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi menyediakan program coding, robotik dan cloud computing secara percuma untuk murid di negeri Selangor; dan

d. Memperkasa kolej dan universiti milik Kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (UNISEL), INPENS International College dan Universiti Islam Selangor (UIS) sebagai peneraju pendidikan tinggi dan penyelidikan bagi ekonomi masa hadapan.

  1. PN juga akan menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan berkualiti dan berprestij. Ini termasuk menyediakan insentif Selangor Destinasi Pilihan bernilai RM200 juta untuk menjadikan Selangor sebagai negeri tarikan utama pelancong.
  2. Bagi merancakkan pemulihan ekonomi negeri, kami akan membangunkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaya saing dan digital-ready. Antaranya termasuk:

a. Memperkenalkan semula dan memperkasa Skim Mikro Kredit (HIJRAH) bagi mengupaya peniaga-peniaga kecil yang memerlukan modal perniagaan dengan dana pusingan berjumlah RM500 juta untuk manfaat 100,000 peniaga kecil;

b. Memberikan pengecualian fi lesen perniagaan untuk penjaja, gerai dan pasar;

c. Mengecualikan sepenuhnya bayaran sewa tapak perniagaan milik PBT bagi penjaja yang berdaftar;

d. Mewujudkan dana Food Truck Selangor (FTS) berjumlah RM50 juta setahun bagi menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada penjaja untuk memiliki food truck bagi mengembangkan perniagaan mereka;

e. Menyediakan dana Restart Selangor RM50 juta setahun untuk membiayai penggantian peralatan perniagaan rosak akibat bencana atau musibah; dan

f. Mewujudkan dana Digital Niaga Selangor (DiNiS) berjumlah RM50 juta setahun bagi membantu usahawan muda Selangor mengoptimumkan potensi perniagaan melalui teknologi digital serta khidmat nasihat dan latihan;

  1. Golongan belia merupakan tunjang masa depan negara. Justeru, PN amat prihatin dengan kebajikan para belia bagi memastikan tiada anak Selangor yang tercicir. Untuk itu, PN menawarkan beberapa inisiatif antaranya:

a. Mewujudkan Tabung Biasiswa Industri Masa Hadapan Selangor berjumlah RM20 juta untuk anak Selangor daripada keluarga yang memerlukan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang industri masa hadapan yang terpilih;

b. Memperkenalkan skim EduStart Selangor dengan bantuan awal pengajian iaitu RM1,500 kepada semua pelajar tahun pertama anak Selangor yang akan mendaftar masuk ke IPT, manakala RM500 kepada semua pelajar baharu matrikulasi dan tingkatan enam anak Selangor;

c. Memberi insentif khas GigEduSelangor sebanyak RM1,500 kepada pekerja sektor ekonomi gig anak Selangor yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi; dan

d. Menawarkan Skim Perumahan Mikro Belia Mampu Sewa di bandar-bandar utama.

  1. Sebagai tanda pengiktirafan belia yang terlibat dalam industri p-panggilan (p-hailing), PN juga akan memperkenalkan skim Selangor Riders kepada mereka untuk mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta perlindungan insurans bernilai RM700 setahun.


TUNJANG 5: WANITA TERAS MASYARAKAT DAN EKONOMI NEGERI

  1. Khusus untuk golongan wanita, PN akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya:

a. Mewujudkan inisiatif Wanita BEST bagi memperkasa 30,000 perniagaan milik usahawan wanita yang berdaya saing melalui penyediaan geran sehingga RM10,000;

b. Memperkenalkan inisiatif Srikandi Profesional (SriPro) dengan dana pemula sehingga RM50,000;

c. Membina 20 Selangor Child Care Centre setahun yang dilengkapi kemudahan moden dan tenaga pengajar profesional;

d. Memperuntukkan dana khas berjumlah RM50 juta kepada agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta bagi membuka pusat asuhan baharu di tempat kerja; dan

e. Menyediakan bantuan yuran pengasuhan kanak-kanak sebanyak RM150 sebulan untuk 50,000 kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan.

  1. Bagi meningkatkan kesejahteraan wanita dan keluarga, Inisiatif Wanita Waja akan diperkenalkan untuk wanita yang berpisah atau kematian suami dan memerlukan bantuan serta sokongan. Inisiatif ini merangkumi tiga komponen iaitu bantuan sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh 3 bulan, bantuan khidmat kaunseling dan motivasi serta bantuan latihan kemahiran dan pementoran.
    TUNJANG 6: MODAL INSAN GEMILANG
  2. Untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak negeri Selangor, kerajaan pimpinan PN akan:

a. Menubuhkan Akademi Sains Selangor dengan menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah yang memfokuskan pendidikan sains, teknologi dan inovasi;

b. Mewujudkan dana pembelajaran khas sebanyak RM2 juta setahun bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK);

c. Menyalurkan Dana Bantuan PIBG sebanyak RM5,000 setahun kepada semua sekolah Kerajaan di negeri Selangor termasuk SJK (C) dan SJK (T) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta.

d. Menawarkan insentif khas bagi sekolah tahfiz dan agama negeri untuk menyertai sistem kemahiran TVET; dan

e. Memperkenalkan inisiatif Selangor Prihatin Anak Sekolah (SPAS) dengan bantuan tambang bas sekolah sebanyak RM100 sebulan kepada 20,000 anak Selangor melalui kerjasama pengusaha bas sedia ada.

  1. Bagi memastikan persekitaran pendidikan yang kondusif, sejumlah RM120 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendigitalan pendidikan, di samping pembinaan sekolah agama rakyat integrasi sains dan teknologi baharu. Bantuan yuran KAFA juga akan diberi kepada murid daripada keluarga yang memerlukan dengan peruntukan RM6 juta setahun.

TUNJANG 7: ALAM LESTARI DAN INFRASTRUKTUR BESTARI

  1. Saya ingin berkongsi satu berita gembira kepada rakyat Selangor. PN peka dan mendengar keluhan rakyat berhubung bantuan air percuma. Oleh sebab itu, program air percuma melalui inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah.
  2. Negeri Selangor tidak terkecuali daripada menerima impak perubahan iklim. Untuk itu, PN akan mempergiat usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi sebarang bencana alam. Antaranya:

a. Meubuhkan Yayasan Perlindungan Alam Selangor bagi melindungi hutan rimba, taman alam, pesisiran pantai dan sungai;

b. Mengguna pakai teknologi terkini untuk membina sistem penjanaan tenaga boleh diperbaharui termasuk on-road energy harvesting; dan

c. Menyediakan dana sebanyak RM10 juta sebagai insentif kepada NGO untuk pelaksanaan aktiviti serta program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

  1. Bagi memastikan pengurusan kemudahan utiliti telekomunikasi, infrastruktur asas serta perkhidmatan air yang efisien, kerajaan negeri pimpinan PN akan:

a. Menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM200 juta untuk mengatasi masalah paip pecah dan melaksanakan program penggantian paip-paip lama di 100 kawasan hotspot;

b. Memperuntukkan RM10 juta untuk inisiatif Alam Lestari sejajar usaha membudayakan amalan konservasi air, termasuk melalui rain water harvesting;

c. Memperkenalkan rapid response team bagi mengambil tindakan pantas terhadap aduan berkaitan jalan berlubang dan kerosakan lampu jalan; dan

d. Memperluas akses liputan capaian internet 5G di seluruh negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here